ISU DISKRIMINASI DI MALAYSIA
Isu diskriminasi di Malaysia pernah berlaku antara
tahun 1990-an dahulu . Anda semua pasti pernah mendengar mengenai isu Gerakan
Feminisme di Malaysia . Namun , kita sendiri tidak tahu dengan jelas mengenai
gerakan ini . Oleh itu , kami ingin kongsikan sebuah artikel tentang Gerakan
Feminisme di Malaysia.
Gerakan feminisme di Malaysia
SEBAGAIMANA yang
diketahui, terdapat pelbagai corak feminisme di dunia ini misalnya socialist
feminism, radical feminism, radical lesbian feminism dan moderate feminism.
Antara kesemua corak
feminisme yang di atas, corak radical lesbian feminism bukan
sahaja asing dalam budaya timur malah ditentang oleh pelbagai golongan di
barat. Ini kerana pendukung idea gerakan itu sering mendesak pemisahan antara
lelaki dan wanita kepada dua masyarakat yang berbeza. Bukan itu sahaja, mereka
mendakwa lelaki itu perosak, bahkan secara intelektual dan moralnya, wanita
adalah lebih superior berbanding dengan lelaki. Kalau kita
amat-amati, terdapat dua corak pergerakan feminisme di Malaysia. Pertamanya,
feminisme yang menuntut kesamaan hak dalam partisipasi politik iaitu persamaan
di antara lelaki dan wanita dalam aktiviti-aktiviti berkaitan dengan proses
pembuatan polisi.
Manakala yang
keduanya pula memfokus terhadap perjuangan mendapatkan persamaan hak antara
lelaki dan wanita terhadap keputusan polisi itu sendiri. Ertinya, terdapat dua
bentuk fokus penglibatan iaitu perjuangan persamaan hak ke atas proses dan
perjuangan persamaan hak ke atas polisi. Kumpulan yang pertama mengandaikan,
pembuatan polisi dan perlaksanaannya hanya akan saksama jika jumlah penglibatan
lelaki dan wanita sama dalam badan-badan kerajaan. Badan-badan kerajaan yang
dimaksudkan itu ialah sama ada yang terendah, misalnya di peringkat kerajaan
tempatan dan kerajaan negeri mahupun yang tertinggi seperti ahli parlimen, ahli
jemaah menteri, hatta partisipasi wanita sebagai duta negara.
Kumpulan feminisme
ini percaya persamaan hak antara lelaki dan wanita akan mudah tercapai melalui
pendekatan gender. Malah menurut mereka, masalah keciciran dan ketidakadilan
yang berkaitan dengan wanita itu rata-ratanya disebabkan tiadanya persamaan
jumlah lelaki dan wanita dalam badan-badan pembuatan keputusan dasar itu
sendiri. Kumpulan feminisme yang satu lagi pula mempunyai pendekatan dan
pandangan yang berbeza. Mereka dipengaruhi oleh ide aglitarianisme. Bagi mereka
bukannya persamaan dalam partisipasi politik seperti di atas yang terpenting
tetapi apa yang lebih penting dalam perjuangan mereka ialah persamaan antara
lelaki dan wanita dalam keputusan polisinya, bukan dalam prosesnya.
Oleh itu
aktiviti-aktiviti mereka tidak difokuskan pada badan-badan kerajaan tetapi pada
aktiviti-aktiviti badan bukan kerajaan (NGO). Aktiviti-aktiviti kumpulan
feminisme yang pertama hanya jelas tersebar bermula pada tahun 80-an. Pengaruh
pergerakan feminisme ini semakin menjadi lebih penting mulai tahun 1985. Ini
adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh respond mereka terhadap Persidangan
Wanita Sedunia Kali Ketiga yang diadakan di Nairobi, Kenya pada tahun itu.
Dalam persidangan tersebut lapan resolusi telah dikemukakan, di antaranya yang
terpenting adalah mengenai aspek perkongsian kuasa politik (equal power
sharing) antara golongan lelaki dan wanita. Antara lain, tuntutan mereka ialah
supaya golongan wanita diberikan peluang yang sama untuk menduduki badan-badan
kerajaan yang selama ini dimonopoli oleh lelaki.
Pada pandangan
mereka, hanya dengan memberikan persamaan hak dalam badan-badan tersebut sahaja
keadilan wanita akan tercapai. Jadual-jadual berikut menunjukkan penglibatan
golongan wanita dan lelaki dalam badan-badan kerajaan dan kehakiman.
Selain itu, mereka
juga mahu kerajaan melaksanakan pelbagai covenant yang telah
diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Di antara covenants tersebut
termasuklah Declaration of Human Rights, Covenant on Economic, Social and Cultural
Rights, Covenant on Civic and Political Rights dan Covenant on
the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women (CEDAW).
Bagi mereka lagi, perkara-perkara berikut seperti perubahan-perubahan
pergerakan demokrasi, kefahaman tentang cita rasa wanita, pandangan baru
mengenai politik dan pembuatan keputusan dan keperluan mempercekapkan lagi
sumber tenaga manusia, merupakan faktor-faktor yang menunjukkan peri pentingnya
lebih ramai lagi wanita terlibat dalam pembuatan keputusan politik.
Golongan feminisme
yang memperjuangkan persamaan hak ke atas keputusan polisi pula tidak memfokus
kepada tuntutan persamaan hak dalam badan-badan di atas. Bagi mereka, persamaan
mengenai keputusan polisi masih boleh tercapai meskipun tidak terdapat jumlah
penglibatan yang sama antara lelaki dan wanita dalam proses pembuatan polisi.
Kebanyakan daripada mereka melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti NGO wanita.
Ini bukan bermakna golongan feminisme yang pertama tidak menggunakan struktur
NGO dalam perjuangan mereka. Kedua-duanya memanfaatkan struktur-struktur
tersebut, cuma apa yang ketara ialah dari segi perbezaan fokus masing-masing.
Namun begitu, kegiatan-kegiatan pergerakan feminisme golongan kedua boleh
dikesan jauh lebih awal daripada pergerakan feminisme golongan pertama. Hasil
daripada pelbagai kajian di pelbagai peringkat, di dapati di Malaysia, telah
wujud banyak NGO wanita yang aktif sama ada sebelum atau selepas merdeka. Young
Women Christian Association (1907), Women Teachers Union (1929) dan Women
Institute (1952) merupakan contoh-contoh pertubuhan sukarela wanita yang telah
wujud sebelum merdeka lagi.
Pertubuhan-pertubuhan
tersebut terus aktif dan seterusnya bergabung di bawah satu payung pada 25
Oktober 1963 apabila Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO)
ditubuhkan. NCWO yang bermula dengan 12 pertubuhan (tiga daripadanya ialah
Pertubuhan Pergerakan Wanita dalam parti Perikatan) telah berkembang pesat
apabila ahli gabungannya meningkat kepada sebanyak 83 buah pertubuhan dalam
tahun 1997. Pertubuhan-pertubuhan ini lebih memfokus terhadap perjuangan
persamaan hak antara wanita dengan lelaki dari segi hasil keputusan dasar dan
akta yang berkaitan dengan wanita.
Mereka ini telah
banyak menyumbang terhadap penggubalan mengenai dasar wanita dan akta-aktanya.
Pada tahun 1960-an, NCWO telah berjaya melakukan pelbagai perubahan bagi
memastikan status wanita dimartabatkan. Hasilnya, parlimen telah
meluluskan Married Women and Children (Enforcement Maintenance Act (1968)
dan pelaksanaan konsepequal pay for equal work (1969).
Aktiviti-aktiviti mereka untuk memperjuangkan persamaan hak dari segi hasil
keputusan polisi terus menunjukkan buahnya apabila pelbagai akta dan dasar
negara digubal lantas mereka berfungsi memantau pengimplimentasiannya. Antara
yang terpenting ialah Akta Perkosaan (1989), Akta Keganasan Rumahtangga (1994)
dan Dasar Wanita Negara (1990).
Persidangan Wanita
Sedunia Kali Keempat di Beijing pada tahun 1995 telah merancakkan lagi
aktiviti-aktiviti feminisme di Malaysia. Golongan feminis yang pertama telah
berjaya memperluaskan idealismenya terutama apabila pendekatan gender sudah
semakin mendapat perhatian di pelbagai sektor sama ada kerajaan mahupun swasta.
Di universiti-universiti misalnya, kursus-kursus mengenai pendidikan gender
sudah semakin meluas terutamanya di Universiti Malaya, di bawah Jabatan
Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial. Pengaruh golongan
feminisme kedua juga tidak kurang hebatnya. Ini terbukti apabila kerajaan
bersedia memperuntukkan sebanyak RM50 juta kepada NGO dalam Belanjawan 1998
khususnya kepada NGO wanita. Pertubuhan-Pertubuhan NGO yang aktif seperti NCWO,
Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI) dan Women's Institute of Management
(WIM) telah diperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk menjayakan
aktiviti-aktiviti mereka. WIM sendiri misalnya, telah mendapat
sekurang-kurangnya RM4 juta daripada peruntukan tersebut.

RUJUKAN :Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0406&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm#ixzz56iWgPnxp
© Utusan Melayu (M) Bhd
Comments
Post a Comment